Monday, February 8, 2010


KUALA TERENGGANU – Seorang remaja yang didakwa membunuh bapa kandungnya sendiri di Kampung Pulau Duyong Besar, Rabu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Sharul Azmi Che Mat Nik, 20, bagaimanapun seolah-olah kebingu- ngan ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya sehingga jurubahasa mahkamah terpaksa mengulangi sama ada memahami ataupun tidak berhubung pertuduhan berkenaan.

Tertuduh juga dilihat cuba bertanya sesuatu sehingga menyebabkan pertuduhan dibaca buat kali kedua sebelum dia mengaku faham mengenai tuduhan bunuh dikenakan terhadapnya.

Majistret, Nor Azizah Yusof kemudian menetapkan tarikh baru untuk sebutan semula kes berkenaan pada 6 April depan.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Badius Zaman Ahmad, yang meminta tempoh dua bulan bagi menyediakan hasil bedah siasat dan laporan daripada Jabatan Kimia.

Dalam pertuduhan itu, tertuduh didakwa membunuh Che Mat Nik, 51, pada 3 Februari lalu lebih kurang jam 2 pagi di alamat No 3635 Kampung Pulau Duyong Besar, di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori.

(sumber berita : sinar harian - 09/02/2010)

Kami dari Gerakan Belia 4B ingin menyeru kepada semua remaja-remaja di Malaysia agar menyertai Ahli Gerakan Belia 4B, bagi mengikuti program-program yang bermanfaat supaya dapat mengajar kita kejalan yang diberkati oleh ALLAH serta berbakti kepada Negara Bangsa & juga Agama

dgn itu sahutlah slogan
1BELIA 1MALAYSIA

remaja cemerlang negara terbilang

Thursday, February 4, 2010

10,000 bakal sertai Perhimpunan Sedaq hari ini


Lebih 10,000 orang dijangka menyertai Perhimpunan Sedaq hari ini, yang diadakan bagi menyedarkan orang Melayu bahayanya 'penjajahan' parti pembangkang khususnya DAP.

Perhimpunan itu juga bertujuan memberi ingatan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan kerajaan negeri supaya tidak terus menindas orang Melayu.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berkata, sebanyak 50,000 risalah mengenai perhimpunan berkenaan diedarkan secara serentak di seluruh negeri sejak semalam oleh kira-kira 100 ahli GPMS.

Menurutnya, pihak penganjur juga menyediakan kira-kira 50 buah bas bagi kegunaan orang ramai dari beberapa negeri yang ingin menyertai perhimpunan tersebut.

''Kita buat demonstrasi ini secara aman, berdisiplin untuk memberitahu pentadbiran Guan Eng bahawa orang Melayu telah sedar.

''Kalau dia masih menidakkan suara orang Melayu, kita akan lancarkan demonstrasi kedua, Perhimpunan Bangkit dan janganlah memaksa kita sampai perlu mengadakan demonstrasi ketiga Perhimpunan Amuk dan jika ini terjadi, ia sudah terlambat.

''Kita cuba berunding dan berjumpa dengannya (Guan Eng) untuk menyatakan suara orang Melayu, namun, semuanya ditolak dan dia terus dengan agendanya sendiri tanpa mempedulikan nasib orang Melayu yang tertindas, tersepit dan melarat,'' katanya selaku jurucakap utama perhimpunan itu.

Perhimpunan anjuran 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu termasuk dari Perak, Perlis dan Kedah itu akan diadakan di hadapan Masjid Simpang Enam dan tempat letak kereta berhadapan Komtar bermula pukul 12 tengah hari.

Menurut Jais, pelbagai acara diatur antaranya pidato, khutbah dan solat Jumaat sebelum berarak secara aman ke Komtar dan diakhiri dengan penyerahan memorandum bantahan kepada Guan Eng.


Petikan : Utusan Malaysia

Teruskan Perjuangan Demi Agama,Bangsa dan Tanahair...

Thursday, January 21, 2010

Solat Jumaat ; Jangan Pakai Pakaian Asal Pakai




Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda

Berhias Untuk Sembahyang Fardu Jumaat

Berhias ialah perkara yang disunatkan untuk dilakukan pada hari Jumaat bagi orang lelaki yang akan hadir ke masjid untuk berjemaah fardu Jumaat. Berhias itu ialah dengan memakai pakaian yang elok dan terbaik. Inilah yang dianjurkan dalam hadis Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam daripada Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah Radiallahuanhuma yang maksudnya:

"Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, lalu dia memakai yang terbaik daripada pakaian-pakaiannya dan memakai wangian (haruman) - sekiranya dia ada - setelah itu dia pergi ke tempat menunaikan fardu Jumaat tanpa melangkahi kepala orang lain, lalu mengerjakan mana-mana sembahyang (sunat yang dikehendakinya), kemudian dia berdiam diri sebaik sahaja imam muncul (untuk menyampaikan khutbah) sehinggalah dia selesai daripada sembahyangnya, maka kesemua yang dilakukannya ini menjadi penghapus dosanya (yang berlaku) antara Jumaat tersebut dan Jumaat yang sebelumnya." (Hadis riwayat Abu Daud).

Adapun maksud daripada 'tanpa melangkahi kepala orang lain' merupakan anjuran untuk dia datang pada awal waktu supaya dia tidak perlu memintas (melangkahi) barisan atau saf jemaah.

Bagaimanapun berpakaian yang elok dan sempurna itu bukan sahaja dituntut pada hari Jumaat, bahkan pada setiap kali kita menghadap Allah Subhanahu Wata'ala seperti mana yang disebutkan dalam firman-Nya yang tafsirnya:

"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)." (Surah al-A'raaf: 31).


Warna Yang Afdal Dipakai
Adapun daripada pakaian yang terbaik itu, yang afdal dipakai ialah yang berwarna putih. Maka adalah sangat jelas warna putih itu afdal dipakai berdasarkan kepada beberapa hadis antaranya ialah riwayat daripada Ibnu 'Abbas Radiallahuanhuma Rasulullah Sallallahu Alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

"Pakailah daripada pakaian-pakaian kamu yang berwarna putih. Sesungguhnya pakaian putih itu adalah sebaik-baik pakaian kamu. Dan kafankanlah padanya (kain warna putih) orang-orang yang meninggal dunia di kalangan kamu." (Hadis riwayat Abu Daud).

Jika tiada pakaian yang berwarna putih, maka pakaian yang hampir warnanya kepada putih. Jika tiada juga, maka boleh memakai pakaian yang berwarna. Manakala menurut Syeikh Zakaria al-Anshari Rahimahullah daripada pakaian yang berwarna itu diutamakan dahulu warna selain warna hitam.

Menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullah, adapun yang akmal (lebih sempurna) hendaklah kesemua bentuk atau jenis pakaian itu berwarna serba putih termasuklah serban (atau alas kepala). Bahkan afdal serban itu berwarna putih. Ini kerana jika dia tidak mendapati kesemua bentuk atau jenis pakaiannya itu serba putih, maka memadailah dia memakai pakaian warna putih itu pada sebelah atas.


petikan dari : www.brunet.gov

Wednesday, January 20, 2010

Mesyuarat GB4B Negeri Pulau Pinang Bersama Pengarah dan Pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang





Tuesday, January 19, 2010

Dilema Usahawan Bumiputera

LEBIH sembilan bulan yang lalu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) dibubarkan apabila Kabinet baru di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibentuk.

Sepanjang tempoh itu, banyak isu berbangkit termasuk desakan pihak tertentu agar MeCD diwujudkan semula. Ia diperkatakan dari semasa ke semasa sehingga hari ini.

Antara yang memohon agar kerajaan mengkaji semula pembubaran itu adalah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Dalam laporan Utusan Malaysia bertarikh 15 April 2009, DPMM mendakwa menerima banyak rungutan yang berbaur kebimbangan terutama daripada kalangan usahawan kecil mengenai nasib 11 agensi yang berada di bawah kementerian yang dibubarkan itu.

Meneliti kebimbangan itu, ternyata ia ada benarnya memandangkan banyak usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) seolah-olah tiada tempat mengadu kerana 'robohnya' tempat mereka bernaung selama ini.

Walaupun kerajaan menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa pembubaran MeCD tidak akan menjejaskan kepentingan masyarakat bumiputera di negara ini dan golongan usahawan bumiputera tidak akan diabaikan, namun apa yang berlaku tidak seperti yang digambarkan.

Usahawan bumiputera kini dikatakan berada dalam dilema memandangkan segala penstrukturan semula dan strategi penyerapan agensi MeCD ke dalam kementerian lain seolah- olah belum dilaksanakan.

Dalam kemelut ekonomi yang tidak menentu kini, apatah lagi kesan kejatuhan ekonomi yang masih berbahang, sudah tentu ada segelintir usahawan bumiputera yang 'kepanasan' dek kerana tiada pihak yang tepat boleh ditemui untuk meredakan bahang tersebut.

Bayangkan ada usahawan kecil di bandar Jerantut yang terkenal sebagai pintu masuk ke Taman Negara Pahang masih bergelut untuk memajukan bisnes pelancongan yang dibukanya di situ.

Pinjaman untuk mengubah suai premis sedia ada sebanyak RM500,000 yang dipohon daripada bank SME pada Mac tahun lalu masih 'tergantung' sehingga hari ini.

Pengusaha terbabit, Marodzuan Abd. Ghani, 45, berkata, pihaknya telah hampir setahun menghantar kertas cadangan untuk membesarkan kafe dan motel yang dibukanya di Jerantut, Pahang.

Menurutnya, kertas cadangan yang dihantar pada bulan Mac tahun lalu sehingga kini masih terperap di pejabat bank SME cawangan Kuantan.

"Proposal dah bagi tetapi bila saya semak, pegawai terbabit beritahu proposal itu belum dihantar ke ibu pejabat di Kuala Lumpur. Bayangkan, sudah hampir setahun, proposal itu masih disimpan di pejabat Kuantan.

"Bila ditanya kenapa ambil masa yang terlalu lama untuk menghantar proposal itu ke Kuala Lumpur, banyak alasan yang diberi," ujarnya yang kecewa dengan keadaan tersebut.

Beliau mengakui tanpa dana daripada pinjaman yang dipohon, pihaknya menerusi syarikat Middle Earth terpaksa mengehadkan aktiviti bisnes yang dilakukan sekarang.

"Kalau ada duit, tentulah syarikat akan menambah pakej sedia ada. Ini kerana sebarang penambahan pakej memerlukan pengubahsuaian dilakukan terhadap jumlah bilik motel yang ada sekarang," ujarnya.

Beliau turut kesal kerana katanya, untuk meminta pegawai dari bank SME cawangan Kuantan datang melihat premisnya di Jerantut, beliau terpaksa membuat beberapa panggilan termasuk ke Kuala Lumpur.

''Setelah didesak, barulah seorang pegawai datang melihat motel dan kafe saya. Tetapi selepas itu, sehingga sekarang, status pinjaman yang dibuat masih tidak jelas sama ada dapat atau tidak," ujarnya kesal.

Beliau juga berkata, kesukaran memperoleh pinjaman untuk memajukan bisnes yang sedia ada mengundang risiko gulung tikar kepada sesetengah usahawan bumiputera yang mudah putus asa.

Sementara itu, seorang rakan penulis yang merupakan usahawan restoran di Subang Jaya, Selangor pula berkata, beliau pernah dimaklumkan tentang bank SME dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Nasional (TEKUN) kekurangan dana untuk meluluskan pinjaman baru.

"Sebab itulah, saya malas nak mohon. Sebab saya difahamkan institusi kewangan tersebut tidak ada aliran tunai untuk meluluskan pinjaman. Jadi, daripada membuang masa membuat permohonan pinjaman yang tidak pasti statusnya, lebih baik saya beralih ke institusi kewangan lain," katanya yang enggan dikenali. Beliau berkata, pihaknya terpaksa membuat permohonan pinjaman peribadi sebanyak RM120,000 dari Bank Rakyat untuk memulakan dan membesarkan bisnes itu.

Utusan Malaysia difahamkan, ketika berlakunya 'peralihan' kuasa antara MeCD itu, dilaporkan banyak pengusaha bumiputera kecil mengalami masalah apabila status permohonan pinjaman mereka daripada institusi kewangan yang dahulunya terletak di bawah MeCD tersangkut.

Seorang pembaca Utusan Malaysia dalam ruangan Forum bertarikh 23 April 2009, Nor Hoda Tarseh dari Puchong, Selangor meluahkan kekesalannya terhadap apa yang berlaku.

Di dalam surat itu, beliau menyatakan telah mengemukakan permohonan lengkap ke pejabat TEKUN Sri Serdang pada 5 Mac 2009 tetapi setelah lebih sebulan berlalu, permohonan beliau masih belum diluluskan, sedangkan beliau telah mula membayar sewa untuk bulan kedua di sebuah premis perniagaan.

"Alasan yang diberi adalah TEKUN telah berpindah kementerian dan tunggu sahaja pengumuman daripada menteri baru," katanya di dalam surat tersebut.

Saya percaya Nor Hoda tidak keseorangan dalam hal ini. Banyak lagi peniaga kecil bumiputera lain yang senasib dengannya.

Sebagai orang biasa, tentulah beliau 'tidak tahu' apa sebenarnya yang berlaku di dalam kementerian tersebut.

Kekurangan dana untuk menyalurkan pinjaman kepada peniaga IKS bumiputera memang benar. TEKUN yang sebelum ini menjadi 'nadi' kepada 'nyawa' kelangsungan hidup peniaga kecil bumiputera turut kekurangan dana.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN , Datuk Abdul Rahim Hassan pernah mendedahkan 'dilema' yang sedang dihadapi oleh TEKUN.

Menurutnya dalam laporan Utusan Malaysia bertarikh 13 Disember 2009, kekurangan dana tersebut disebabkan peruntukan kerajaan terhad, di samping masalah peminjam yang liat melunaskan hutang.

Beliau memberitahu, faktor tersebut menjadi punca kenapa TEKUN gagal memberikan pinjaman kepada 16,000 permohonan yang tertangguh membabitkan pembiayaan RM350 juta.

"Dua faktor utama itu telah menjejaskan peluang permohonan baru untuk mendapat bantuan dengan kadar segera," katanya sambil mengakui dana agensi itu kini cuma berbaki RM100 juta sahaja.

Dalam pada itu, beliau berkata, bilangan keseluruhan peminjam TEKUN sejak 1999 sehingga kini adalah seramai 153,102 orang dengan nilai pinjaman RM1.41 bilion.

Jika itulah alasan yang diberi, apa yang diharapkan dalam meniti tahun 2010 ini adalah pihak kerajaan menambah dana sedia ada, manakala peminjam yang liat boleh 'dipaksa' untuk melunaskan hutang.

Namun, sebelum sebarang paksaan dilakukan, para pegawai TEKUN perlu menyiasat terlebih dahulu status kewangan sebenar pengusaha terbabit.

Mungkin benar pengusaha terbabit tidak mampu untuk membayarnya dan dalam kes ini, pembayaran ansuran yang rendah boleh difikirkan. Namun, jika pengusaha terbabit mempunyai kemampuan untuk membayar balik pinjaman tetapi 'liat' kerana penguatkuasaan yang lemah, maka tindakan untuk memaksa mereka membayar balik perlu dilakukan seperti menyita harta mereka dan membekukan wang mereka di bank-bank komersial.

Melihat senario yang berlaku ini, maka adalah jelas bahawa pembubaran MeCD perlu dikaji semula. Alangkah lebih baik jika segala aspek berkaitan pembangunan ekonomi orang Melayu disatukan di bawah satu bumbung bagi melicinkan pergerakan ke arah melahirkan lebih banyak pengusaha bumiputera yang berjaya.

www.utusan.com.my

Awasi Ejen Skim Cepat Kaya Menggunakan Persatuan Belia/NGO

Awas ejen skim cepat kaya

Oleh ISMAIL MAHMUD
utusansabah@utusan.com.my

TENOM 19 Jan. – Penduduk di luar bandar diingatkan supaya tidak melabur dalam skim cepat kaya yang beroperasi dengan menggunakan nama sebuah persatuan.

Pegawai Khas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Jamawi Jaafar berkata, persatuan yang masih bergerak aktif itu kini menjadikan penduduk di kawasan pedalaman sebagai sasaran utama.

“Orang ramai khasnya di luar bandar jangan mudah terpengaruh dengan pujuk rayu mereka yang mengendalikan skim ini dengan tawaran pelbagai insentif lumayan.

“Difahamkan persatuan ini tidak lagi beroperasi di kawasan bandar kerana aktivitinya sudah berjaya di kesan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Difahamkan, sesiapa yang ingin menyertai skim itu dikenakan yuran RM110 dan diberi sijil yang disahkan layak menerima pinjaman antara RM5,000 hingga RM50,000 dari sebuah bank tempatan.

Peserta hanya perlu membawa sijil tersebut ke bank berkenaan bagi membuat pinjaman tetapi sebenarnya pihak bank terbabit tidak pernah meluluskan prosedur sedemikian.

Beliau yakin, insentif yang ditawarkan itu berunsur penipuan kerana skim tersebut sebelum ini tidak pernah dimaklum atau diiklankan dalam media cetak atau elektronik.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tenom itu mengakui pernah berhubung sendiri dengan individu utama yang menjalankan skim tersebut untuk penjelasan tetapi tidak dilayani.

“Sebaliknya individu tersebut yang merupakan pegawai persatuan itu terus berang dan enggan melayani pertanyaan saya. Saya tidak faham kenapa dia berbuat demikian,” katanya.

Jelasnya, pegawai berkenaan tidak perlu berbuat demikian jika tidak bersalah kerana semua orang khususnya bakal pelanggan mempunyai hak untuk mengetahui tentang skim itu.

Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO tidak mahu kes skim cepat kaya atas nama Anggun Bestari yang pernah menipu ramai orang di sini pada 2007 berulang.

“Malangnya Anggun Bestari sudah lenyap, wang para pelabur pun hilang. Jadi kita tidak mahu pengalaman lalu berulang ibarat pisang berbuah dua kali,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tenom, Asisten Supritendan Polis Syed Lot Syed Abdul Rahman ketika dihubungi, mengesahkan sedang menyiasat perkara itu.

Menurut beliau, pihaknya sudah lama menghidup aktiviti persatuan tersebut dan ketika ini masih menjalankan intipan dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati.