Thursday, January 21, 2010

Solat Jumaat ; Jangan Pakai Pakaian Asal Pakai




Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda

Berhias Untuk Sembahyang Fardu Jumaat

Berhias ialah perkara yang disunatkan untuk dilakukan pada hari Jumaat bagi orang lelaki yang akan hadir ke masjid untuk berjemaah fardu Jumaat. Berhias itu ialah dengan memakai pakaian yang elok dan terbaik. Inilah yang dianjurkan dalam hadis Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam daripada Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah Radiallahuanhuma yang maksudnya:

"Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, lalu dia memakai yang terbaik daripada pakaian-pakaiannya dan memakai wangian (haruman) - sekiranya dia ada - setelah itu dia pergi ke tempat menunaikan fardu Jumaat tanpa melangkahi kepala orang lain, lalu mengerjakan mana-mana sembahyang (sunat yang dikehendakinya), kemudian dia berdiam diri sebaik sahaja imam muncul (untuk menyampaikan khutbah) sehinggalah dia selesai daripada sembahyangnya, maka kesemua yang dilakukannya ini menjadi penghapus dosanya (yang berlaku) antara Jumaat tersebut dan Jumaat yang sebelumnya." (Hadis riwayat Abu Daud).

Adapun maksud daripada 'tanpa melangkahi kepala orang lain' merupakan anjuran untuk dia datang pada awal waktu supaya dia tidak perlu memintas (melangkahi) barisan atau saf jemaah.

Bagaimanapun berpakaian yang elok dan sempurna itu bukan sahaja dituntut pada hari Jumaat, bahkan pada setiap kali kita menghadap Allah Subhanahu Wata'ala seperti mana yang disebutkan dalam firman-Nya yang tafsirnya:

"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)." (Surah al-A'raaf: 31).


Warna Yang Afdal Dipakai
Adapun daripada pakaian yang terbaik itu, yang afdal dipakai ialah yang berwarna putih. Maka adalah sangat jelas warna putih itu afdal dipakai berdasarkan kepada beberapa hadis antaranya ialah riwayat daripada Ibnu 'Abbas Radiallahuanhuma Rasulullah Sallallahu Alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

"Pakailah daripada pakaian-pakaian kamu yang berwarna putih. Sesungguhnya pakaian putih itu adalah sebaik-baik pakaian kamu. Dan kafankanlah padanya (kain warna putih) orang-orang yang meninggal dunia di kalangan kamu." (Hadis riwayat Abu Daud).

Jika tiada pakaian yang berwarna putih, maka pakaian yang hampir warnanya kepada putih. Jika tiada juga, maka boleh memakai pakaian yang berwarna. Manakala menurut Syeikh Zakaria al-Anshari Rahimahullah daripada pakaian yang berwarna itu diutamakan dahulu warna selain warna hitam.

Menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullah, adapun yang akmal (lebih sempurna) hendaklah kesemua bentuk atau jenis pakaian itu berwarna serba putih termasuklah serban (atau alas kepala). Bahkan afdal serban itu berwarna putih. Ini kerana jika dia tidak mendapati kesemua bentuk atau jenis pakaiannya itu serba putih, maka memadailah dia memakai pakaian warna putih itu pada sebelah atas.


petikan dari : www.brunet.gov

No comments:

Post a Comment